[VIDEO] Sri Pahang jadi mangsa pengadil ‘cap ayam’ lagi?

Belum pun reda isu pengadi ketika berdepan Kedah Darul Aman FC, kali ini Sri Pahang seakan-akan ‘dirompak’ oleh pengadil kemenangan mereka apabila gol penyamaan PJ City FC dibenarkan untuk keputusan terikat 1-1.

Sebelum itu, Sri Pahang memperoleh jaringan pendahuluan pada minit ke-38, hasil gerakan dan rembatan cantik Manuel Hidalgo dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol PJ City, Kalamullah Al-Hafiz.

Beberapa siri serangan telah dicipta oleh anak buah Christophe Gamel sejak dari awal permainan antaranya menerusi Malik Mat Ariff pada minit ke-4, Billi Ketkeo serta Manuel Hidalgo selang beberapa minit selepas itu. Ini menunjukkan betapa mereka mahukan kemenangan dan tiga mata pertama dalam saingan musim ini.

PJ City tidak mahu mengalah. Disebalik formasi yang nampak lebih bertahan, mereka juga berhasil mencipta beberapa serangan ke kubu tuan rumah menerusi wira hatrik minggu lalu, Darren Lok dan S. Kumaahran.

Walaupun acapkali gagal untuk menembusi tembok kebal gawang yang dikawal Mamadou Samassa, namun secara tiba-tiba di penghujung aksi, rembatan voli jarak jauh pemain gantian pelawat, R. Barathkumar berjaya juga menewaskan penjaga gol tinggi lampai itu pada minit ke-86, hanya ketika aksi berbaki empat minit lagi.

Gol itu dilihat cuba dibantah terlebih dahulu oleh PJ City apabila ia tidak diiktiraf, namun selepas perbincangan antara pengadil perlawanan dan penjaga garisan, ia dibenarkan. Kini, giliran Tok Gajah pula ‘naik minyak’.

Jika dilihat, seakan-akan keputusan awal penjaga garisan adalah tepat apabila ketika bola menghampiri gawang tuan rumah, terdapat seorang pemain PJ City iaitu Khyril Muhymeen sedang berada di depan penjaga gol dan tampak seakan-akan ada pergerakan yang dibuatnya sebelum bola menewaskan Mamadou Samassa.

Baca Juga : [VIDEO] 2 Insiden ‘aneh’ Jurulatih Sri Pahang panik serangan balas Kedah

Begitupun, hanya pengadil mengetahui kenapa gol tersebut dibenarkan selepas ia dibatalkan pada awalnya.

Apa yang pasti, seperti Sri Pahang sekali lagi ‘dirompak’. Jika sebelum ini, ketika berdepan Kedah, gol mereka dibatalkan dan kali ini gol lawan pula dibenarkan. Aksi berdepan Kedah telah pun mendapat perhatian Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang pantas menjelaskan terdapat kesalahan dalam pengadilan perlawanan itu.

Pengadil untuk aksi tersebut, Mohd Hasrol Mohd Amir membatalkan dua gol oleh pasukan pelawat.

“Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil telah melakukan siasatan, penelitian dan analisis menerusi rakaman video, dan mendapati bahawa memang terdapat kesalahan dilakukan oleh pegawai-pegawai perlawanan.

“Jawatankuasa Pengadil FAM seterusnya akan mengambil tindakan tegas termasuk tindakan penggantungan daripada sebarang tugasan perlawanan terhadap pegawai-pegawai perlawanan tersebut.” kata ABANG ZULKARNAIN ABANG ABDURAHMAN, Penolong Setiausaha Agung FAM

Apa yang pasti, kita perlu tunggu apa respon FAM dalam insiden ini yang mampu merentap semangat pasukan.

Satu perlawanan boleh lagi, tetapi dua aksi berturut-turut, jika betul keputusan pengadil salah, apa solusinya?-SemuanyaBola

Artikel ini disiarkan pada 10/04/2022

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)