‘UUM perlu segera bertanggungjawab jika ada kecuaian’

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Utara Malaysia (UUM) menuntut pihak universiti berkenaan bertanggungjawab sekiranya berlaku kecuaian sehingga menyebabkan kematian salah seorang pelajar, Sabtu lalu.

Jurucakap MPP UUM berkata, seluruh warga universiti itu masih menunggu laporan perubatan pihak Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kimia berhubung punca utama kematian mangsa.

Baca Juga : Pelajar UUM meninggal ‘mengejut’ belum dikenal pasti punca

Katanya, Kementerian Pengajian Tinggi dan UUM juga diharap dapat memaklumkan butiran lengkap kejadian kepada umum sebaik laporan perubatan berkenaan berjaya disiapkan.

“MPP UUM ingin menuntut agar pihak universiti membantu dalam memudahkan segala proses dan urusan keluarga mangsa dan juga bertanggungjawab sekiranya punca kematiannya adalah daripada kecuaian pihak universiti sendiri.

“Kami sedaya upaya membantu memudahkan proses siasatan kejadian melalui bantuan yang diberi semasa siri perjumpaan secara fizikal dan melalui panggilan telefon bersama Naib Canselor UUM dan waris mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Dalam kejadian Sabtu lalu, pelajar Semester Empat Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat) UUM, R Vinosiny, 21, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di biliknya sebelum disahkan meninggal dunia.

Bagaimanapun, siasatan awal polis mendapati pelajar terbabit dipercayai mengalami serangan sawan, namun pihak berkuasa masih menunggu laporan kimia berhubung kematiannya.

Mengulas lanjut, beliau berharap, semua pelajar UUM dapat bersabar dan terus kekal tenang serta menunggu laporan dan maklumat sahih pihak berkuasa.

“Kami juga meminta semua pelajar agar tidak berkongsi maklumat yang tidak pasti atau tidak benar di semua platform supaya insiden ini tidak disalah erti.

“Kami turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga manga atas insiden yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UUM turut mengeluarkan kenyataan, mengingatkan pelajarnya tidak terbabit dalam apa-apa aktiviti seperti forum atau dialog berkaitan kejadian berkenaan.

Katanya, pelajar juga diminta tidak membuat apa-apa penyataan, spekulasi, andaian atau pendapat berkaitan kejadian.

“Sekiranya UUM mendapati mana-mana pelajar melanggar arahan atau peraturan yang ditetapkan, maka UUM boleh mengambil tindakan tatatertib terhadap pelajar tersebut.

“Untuk makluman semua pelajar, kes itu masih dalam siasatan polis dan dalam tempoh siasatan ini, UUM berharap agar semua pelajar kekal tenang,” katanya.-Harian Metro

Baca Juga : Nak kena beli pam besar rumah ni ke? – Penduduk Sungai Nonang

Artikel ini disiarkan pada 28/05/2022

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (1)
  • […] Baca Juga: ‘UUM perlu segera bertanggungjawab jika ada kecuaian’ […]