Uitm lapor polis,Laporan kronologi kes tersebar

Universiti Teknologi Mara (UiTM) membuat laporan polis terhadap dokumen tiga muka surat mengenai laporan kronologi berhubung insiden video tular seorang pensyarah yang memperlekeh mahasiswanya.

Laporan tersebut dibuat selepas dokumen yang tular itu dikatakan sulit serta untuk melindungi institusi berkenaan, kakitangan dan mahasiswanya.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor berkata, laporan tersebut juga dibuat sekiranya terdapat keperluan untuk merujuk kebocoran maklumat itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Menurutnya, beliau mempersoalkan tindakan pihak tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan terhadap isu tular yang dihadapi UiTM dengan membocorkan maklumat sulit.

“Saya minta buat sebab sudah empat kali UiTM kena, setiap kali ada isu yang melibatkan tular, saya akan ke balai polis dahulu. Laporan polis ini adalah berhubung laporan tersebut.

“Pada saya semalam (siasatan dan pertemuan) sudah siap, ramai sahaja yang tanya apa berlaku. Kita anggap perkara itu sudah selesai (perbincangan). Pada saya (buat laporan polis) sebab ada undang-undang (dokumen sulit),” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Susulan tular video memaparkan tindakan pensyarah memperlekeh mahasiswanya ketika mengendalikan kuliah secara dalam talian baru-baru ini, terdapat satu lagi dokumen siasatan tersebar.

Dokumen tersebut didakwa sulit untuk diusulkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti (LPU) bagi memutuskan tindakan diambil berhubung insiden tersebut.

Jelas Roziah, mesyuarat tersebut akan diadakan pada malam ini yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah.

“Mesyuarat itu termasuk melibatkan wakil Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam LPU yang akan dipengerusikan oleh Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Ibrahim Abu Shah.

“Insya-Allah keputusan dijangka dicapai pada malam ini, tetapi itu kita akan salurkan kepada kementerian, apa yang sudah terbocor itulah sebenarnya pilihan yang akan dibentangkan,” jelasnya.

Dalam masa sama beliau turut mengingatkan semua kakitangan dan mahasiswa supaya menghayati penubuhan UiTM sebagai dasar untuk membantu bangsa Melayu dan Bumiputera terutama golongan B40.

“Hendak mengingatkan itu, saya selalu ingatkan dalam amanat, kadang-kadang orang ini terlupa, cuma saya tak rasa pensyarah ini atau mahasiswa lupa, sebab apa, kita ada 70 peratus mahasiswa kita adalah B40.

“Dengan keadaan pandemik ini pun, semua itu memang meningkatlah statistiknya. Cuma sekarang ini saya hendak katalah, B40 ini adalah satu tindakan melabel, saya tak suka melabel (membeza-bezakan) orang,” jelasnya. – UTUSAN

 

Baca juga:

Netizen ‘korek’ Status FB Pensyarah Uitm yang tular mengherdik pelajar

Pensyarah hina pelajar tiada komputer ketika kelas online

Artikel ini disiarkan pada 01/04/2022

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)