Tian Chua masih ada peluang untuk membuat rayuan

Sepang: Bekas Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua, yang dipecat selepas bertanding di kerusi Parlimen Batu sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu, boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari kepada parti.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pemecatan Tian Chua adalah syor daripada jawatankuasa disiplin parti.

“Dalam mana-mana keputusan disiplin parti, ada ruang untuk kemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari… saya yakin dia (Tian Chua) akan manfaatkan proses rayuan ini, daripada situ lembaga rayuan akan teliti asas rayuan yang dibuat,” katanya kepada kepada pemberita selepas meninjau operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Tian Chua dan empat lagi ahli PKR dipecat selepas bertanding pada PRU15 dan Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 yang lepas, tanpa persetujuan parti.

Empat lagi yang dipecat ialah Puah Chee Haur dari cabang PKR Parit Buntar, Ahmad Tarmizi Mohd Ghazali (Gopeng), M. Mohganan (Taiping) serta Nur Khairunisa Abdullah (Sadong Jaya).

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datin Dr Tan Yee Kew ketika dihubungi Bernama, berkata keputusan pemecatan dibuat semasa mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti yang diadakan semalam.

Pada PRU-15, Tian Chua. yang juga bekas Ahli Parlimen Batu, bertanding di kawasan sama manakala Puah dan Ahmad Tarmizi masing-masing bertanding atas tiket Parti Warisan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Keranji dan Dun Chenderiang, kedua-duanya di Perak.

Sementara, Mohganan bertanding di Parlimen Taping sebagai calon Bebas dan Nur Khairunisa bertanding atas tiket Parti Sarawak Bersatu bagi Dun Sadong Jaya pada PRN Sarawak ke-12.

Mengenai ketidaktentuan politik di Sabah, Saifuddin berkata proses penyelesaian masalah di negeri itu sedang berjalan.

“Biar perbincangan pimpinan utama dilakukan dulu. Saya percaya mereka dapat cari formula terbaik kepada sedikit masalah di Sabah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada 09/01/2023

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)