Surau Bergerak MBI Untuk Kemudahan Umat Islam.

IPOH: Perkhidmatan surau bergerak yang dilancarkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sejak Mac lalu telah memberi banyak manfaat kepada orang ramai untuk menunaikan ibadah.

Kemudahan bas yang berfungsi sebagai surau itu juga dilihat memberi ruang kepada para peniaga beragama Islam khususnya, untuk mendirikan solat di lokasi perniagaan tertentu.

Ahli Majlis merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kecil Hal Ehwal Agama Islam MBI, Abu Bakar Hussian ketika meninjau perkhidmatan itu di Gerbang Malam di sini berkata, ramai yang tidak melepaskan peluang untuk memanfaatkan kemudahan itu.

“Alhamdulillah dapat meninjau perkhidmatan surau bergerak MBI di Jalan Theatre, Ipoh berdekatan Gerbang Malam.

“Perkhidmatan bas ini di sini pada Jumaat, Sabtu dan Ahad sahaja. Bermula jam 6.30 petang hingga 12 malam. Kita bergerak ikut lokasi yang bersesuaian dan mengikut permintaan.

“Ramai yang hadir untuk menunaikan solat, bak kata mereka, berniaga… berniaga juga tetapi solat tetap tidak dilupakan,” katanya.
Katanya lagi, dengan adanya kemudahan itu sekurang-kurangnya memudahkan orang ramai mengerjakan ibadah.

Di samping mengajak umat Islam untuk sama-sama mengingati Allah SWT, walau sesibuk mana aktiviti kehidupan seharian.

Tambah Abu Bakar, mana-mana agensi atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menggunakan perkhidmatan surau bergerak itu, boleh menghubungi pihak MBI atau dirinya untuk keterangan lanjut.

Surau ini boleh diletakkan pada mana-mana lokasi bagi kemudahan umat Islam memanfaatkannya untuk solat serta aktiviti dakwah yang bersesuaian.

Sebelum ini media melaporkan, MBI muncul sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama berjaya menyiapkan sebuah bas yang direka khas menjadi surau bergerak untuk kegunaan umat Islam menunaikan solat lima waktu.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata berkata surau itu adalah hasil idea dan reka bentuk MBI bersama syarikat yang dilantik dengan mengambil kira tentang kemudahan asas bersolat serta ditambah baik dengan ciri-ciri moden lagi selesa.

Ruang surau ini boleh memuatkan seramai 15 orang.

Beliau berkata ia dilengkapi dengan ruang solat, sistem air wuduk, sistem pendingin hawa, generator, alat audio video yang lengkap dengan sistem waktu azan dan kanopi.

“Konsep surau bergerak ini amat mudah dan mesra yang akan dikendalikan oleh seorang petugas.

“Surau ini boleh diletakkan pada mana-mana lokasi bagi kemudahan umat Islam memanfaatkannya untuk solat serta aktiviti dakwah yang bersesuaian. Ruang surau ini boleh memuatkan seramai 15 orang,” katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada 07/08/2022

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)