Seorang pelajar antara lima ditahan berkaitan kes rogol remaja bawah umur

KLANG – Seorang pelajar Tingkatan Empat antara lima individu ditahan bagi siasatan berkaitan kejadian rogol melibatkan seorang gadis bawah umur di kawasan Klang pada Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, kelima suspek berumur antara 16 hingga 20 tahun itu ditahan menerusi serbuan di sekitar kawasan Klang pada Ahad.

“Dalam kejadian kira-kira 12 Ogos lalu, mangsa yang berumur 14 tahun itu mengikut seorang rakan perempuannya untuk pergi ke sebuah rumah.

“Semasa berada di rumah tersebut, mangsa kemudiannya telah dirogol oleh abang rakannya itu bersama-sama dengan empat orang kawannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelupusan Barang Kes di Balai Polis Kapar di sini pada Selasa.

“Siasatan yang dijalankan polis kemudian membawa kepada penangkapan lima suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian.

“Siasatan awal mendapati laporan dibuat hampir sebulan selepas kejadian selepas mangsa difahamkan cuba tidak memberitahu kejadian itu kepada keluarga, namun abang mangsa yang kemudiannya mendapat tahu bahawa mangsa dirogol dan kemudiannya memberitahu ibu mereka berkaitan kejadian,” katanya.

Menurutnya, kelima-lima suspek direman lima hari bagi siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 375(B) Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada 20/09/2022

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)