“Ratah anak sendiri” seorang lelaki berdepan hukuman penjara 17 tahun,4 sebatan

Bapa kepada tujuh anak dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada Khamis atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal terhadap darah dagingnya.

Utusan Malaysia melaporkan, hukuman terhadap tertuduh yang berusia 46 tahun itu dijatuhkan mahkamah berasingan oleh Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin dan Hakim Nariman Badruddin, sebaik sahaja tertuduh membuat pengakuan bersalah atas dua pertuduhan berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin dan N Sivashangari.

Mengikut pertuduhan pertama di hadapan Maziah, tertuduh yang merupakan bapa kandung mangsa sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya yang sewaktu kejadian berusia tujuh tahun 11 bulan.

Tindakan itu dilakukan tertuduh pada waktu tengah hari di sebuah rumah di Bukit Rambai, Melaka Tengah antara pertengahan hingga akhir Oktober 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, manakala bagi kesalahan mengikut Seksyen 16 (1), tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun dan minimum dua sebatan.

Bagi pertuduhan kedua di hadapan Nariman, tertuduh didapati dengan sengaja melakukan perbuatan sama terhadap mangsa sama kira-kira 2.30 pagi di alamat sama pada 23 Nov 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) AKSTK 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan.

Mengikut fakta kes, pada 23 Nov 2021, mangsa memberitahu pengadu, iaitu ibunya mengenai kejadian badannya dihimpit ketika tidur dan sebaik sahaja tersedar, dia ternampak bapanya bergegas bangun dan keluar sambil menghulurkan RM50, namun tidak diambilnya.

Pengadu bertanyakan hal itu kepada tertuduh sebelum berlaku pertengkaran sehingga lelaki itu bertindak menarik rambut serta memukul badannya.

Tertuduh kemudian menghantar pesanan kepada pengadu meminta maaf dengan berkata: “Abang minta maaf, abang macam kena rasuk pagi tadi, bukan abang nak makan anak sendiri. Nasib abang terus sedar tak buat benda yang tak baik.”

Maziah dan Nariman kemudian masing-masing menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan terhadap tertuduh, dan memerintahkan hukuman berjalan serentak daripada tarikh dia ditangkap.

Artikel ini disiarkan pada 08/04/2022

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (1)
  • […] ARTIKEL VIRAL: “Ratah anak sendiri” seorang lelaki berdepan hukuman penjara 17 tahun,4 sebatan […]