Kebakaran kira-kira pukul 3.30 pagi yang melibatkan tiga kediaman itu mengorbankan nyawa d Nur Syaza Alfisya Muhammad Faizan, 10, dan adiknya, Muhammad Al Qayyum Muhammad Faizan, 7, di rumah mereka.
Jenazah dua beradik itu ditemukan di bilik utama rumah berkenaan selepas operasi pemadaman selesai.
Utusan Malaysia semalam melaporkan nenek mangsa yang ingin dikenali sebagai Normala, 48, berkata, ketika kejadian, anak perempuan dan menantunya tidak membawa kedua-dua cucunya keluar kerana mereka dipercayai sedang tidur.
“Saya dimaklumkan kejadian kira-kira 4 pagi dan ketika kejadian anak saya dan suaminya pergi keluar makan pukul 3 pagi kerana anak saya yang mengandung mengidam nak makan,” katanya.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dilapor perlu mendapatkan laporan polis sebelum menentukan sama ada ibu bapa mangsa melakukan kecuaian hingga menyebabkan mangsa maut dalam kebakaran di rumah mereka.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, dilaporkan berkata, pihaknya sedang menunggu laporan penuh berhubung kebakaran itu untuk sama ada ibu bapa mangsa melakukan kesalahan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) kerana cuai.
Seksyen 31, Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) menggariskan mengenai penganiayaan, pengabaian, pembuangan dan pendedahan kanak-kanak.
Seksyen 31(1)(a) menyatakan adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana orang yang mempunyai pemeliharaan seseorang kanak-kanak, menganiayai, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal atau emosi
– UTUSAN
[…] BACA : Polis beri ruang ibu bapa yang masih trauma rumah terbakar ragut nyawa dua anak […]