Pesawat terhempas: Menteri Besar Perak gesa supaya aspek keselamatan penerbangan dipertingkatkan

IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mahu aspek keselamatan penerbangan ditingkatkan bagi mengelak insiden pesawat ringan terhempas di Jalan Sultan Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng pada Isnin, berulang.

Beliau berkata, kejadian yang berlaku sekitar jam 8 malam itu bukan sahaja membahayakan juruterbang, tetapi mengundang risiko keselamatan kepada orang ramai kerana berhampiran kawasan pekan dan perumahan.

“Kita faham bahawa ini satu kemalangan, cumanya Jabatan Penerbangan Awam (DCA) barangkali ada kaedah-kaedah tertentu untuk mengelak daripada kejadian berulang.

“Kerana nahas semalam jatuhnya di kawasan hampir di tengah pekan di mana orang ramai berada di situ,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bot Penyelamat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak di Mes Pegawai Kanan Polis di sini pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Pengarah SMSR Resources, Syed Shukran Syed Muhamad.

Saarani berkata, siasatan penuh nahas itu akan dikendalikan sepenuhnya DCA.

“Sudah tentu mereka perlu untuk buat siasatan dan melihat bagaimana langkah-langkah keselamatan perlu diperketatkan,” katanya.

Nahas pesawat ringan itu telah mengorbankan seorang juruterbang, Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, sementara seorang lagi, Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, terselamat dengan mengalami kecederaan.

Dilaporkan kemalangan terbabit melibatkan jenis pesawat Piper 28-161, pendaftaran 9M-BAA yang dikendalikan oleh BATS Aviation Sdn Bhd.

Kejadian berlaku ketika pesawat berkenaan sedang menjalani latihan penerbangan di Sungai Pinji selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh.

Dalam perkembangan lain, Saarani berkata, sebanyak 30 bot Fiberglass baharu diserahkan kepada Polis Perak untuk digunakan dalam operasi menyelamat di seluruh negeri terutama ketika banjir.

Katanya, sumbangan melibatkan peruntukan RM400,500 itu sebagai melengkapi keperluan pasukan penyelamat terbabit dalam menghadapi bencana banjir yang sering melanda negeri ini.

“Bot ini lebih fleksibel kerana saiznya yang kecil memudahkan kerja-kerja menyelamat dilakukan di kawasan sukar yang melibatkan perumahan dan kawasan berbumbung.

“Selain banjir, bot ini juga boleh digunakan untuk kerja menyelamat operasi lainnya seperti kes lemas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada 02/08/2022

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)