Pesara rugi hampir RM50,000, kad ATM dicuri guna

KUALA LUMPUR: Seorang pesara kerugian hampir RM50,000 apabila wang simpanannya dalam bank disyaki ‘dilesapkan’ oleh seorang warga Filipina untuk membeli barang kemas dan bar emas secara dalam talian.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata terdahulu mangsa lelaki berusia 85 tahun itu membuat semakan terhadap penyata kewangan akaun bank miliknya di sebuah cawangan bank tempatan di Taman Tun Dr Ismail, di sini, kira-kira jam 10.30 pagi 20 Disember lalu.

BACA : Bayi koma didera dipusat jagaan kanak-kanak

“Hasil semakan mangsa itu mendapati ada penolakan wang simpanannya mulai September hingga Disember tahun lalu bagi tujuan ‘sales debit’ (jualan debit) dianggarkan berjumlah RM47,940.61,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, beliau berkata, mangsa tampil membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan pada hari sama.

“Pengadu mendakwa tidak pernah mendaftar untuk khidmat perbankan dalam talian, manakala kad mesin juruwang automatik (ATM) sentiasa berada dalam simpanannya, selain tidak pernah membuat sebarang transaksi secara dalam talian,” katanya.

Susulan itu, Amihizam berkata, polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Brickfields menahan seorang lelaki warga Filipina disyaki terbabit kes berkenaan.

Beliau berkata, suspek ditangkap ketika berada di rumah pengadu di Persiaran Zaaba, Taman Tun Dr Ismail, kira-kira jam 7.40 malam Selasa lalu.

“Hasil siasatan mendapati suspek berusia 37 tahun itu bekerja sebagai ‘caretaker’ (penjaga) pengadu yang menghidap masalah kesihatan sejak 2 Mei 2022.

“Berdasarkan soal siasat, suspek mengaku menggunakan kad ATM milik pengadu untuk membuat 19 transaksi pembelian barangan seperti gelang emas, bar emas dan rantai emas secara dalam talian,” katanya.

Beliau berkata, suspek juga disyaki menjual semula barangan terbabit di sekitar ibu negara dan wang hasil jualan itu digunakan untuk tujuan peribadinya.

“Suspek direman tujuh hari bermula 4 hingga 10 Januari (hari ini) untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Namun, beliau berkata, pihaknya sudah mendapat kebenaran untuk menuduh suspek di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Amihizam sekali gus menasihati orang ramai supaya tidak mendedahkan butiran data peribadi atau maklumat perbankan kepada individu tidak dikenali bagi mengelak kejadian sedemikian berlaku.

Selain itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan sindiket penipuan, diminta melaporkannya kepada CCID Scam Response Center melalui talian 03-26101559 atau 03-26101599.

Bharian

 

Artikel ini disiarkan pada 10/01/2023

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (1)
  • […] Baca:Pesara rugi hampir RM50,000, kad ATM dicuri guna […]