Permohonan Rosmah singkir hakim didengar 17 Mac depan

Mahkamah Rayuan menetapkan 17 Mac depan untuk mendengar dua rayuan dikemukakan Rosmah Mansor bagi menyingkirkan hakim perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yih Tinn, berkata tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Khairi Haron dalam pengurusan kes, hari ini.

“Pihak terbabit memaklumkan kepada Khairi pernyataan tambahan sudah difailkan sebagai mana diarahkan Mahkamah Rayuan,” katanya.

Peguam Ravin Kumar mewakili Rosmah pada prosiding hari ini.

Bulan lalu, tiga hakim bersidang dipengerusikan Hanipah Farikullah memerintahkan pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan pernyataan tambahan berhubung sama ada Mahkamah Rayuan mempunyai bidang kuasa mendengar perkara itu.

Semalam, FMT melaporkan pihak pembelaan menyatakan Mahkamah Rayuan mempunyai bidang kuasa mendengar dua rayuan terbabit.

BACA : Kes Buli: 9 pelajar dihadapkan ke mahkamah mengaku tidak bersalah

Perbicaraan dijadualkan berlangsung di hadapan Hakim Zaini Mazlan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, selama 15 hari antara Mei dan September, tahun depan.

Zaini juga merupakan hakim yang mendengar dan mensabitkan Rosmah bersalah dalam perbicaraan projek solar hibrid RM1.25 bilion tahun ini.

Dalam permohonan penyingkiran pertama, isteri kepada bekas perdana menteri Najib Razak itu memohon Zaini menarik diri daripada mendengar perbicaraan apabila mendakwa pernyataan dan eksibit dikemukakan dalam perbicaraan mahkamah secara langsung dan tidak langsung akan mempengaruhinya dalam kes sedang berlangsung.

Pada 14 Dis tahun lalu, Zaini menolak permohonan itu dan menyatakan ia perkara berkaitan undang-undang, selain diperlukan memberi pertimbangan mengikut kes secara berasingan dan bebas.

Pada 25 April tahun ini, Zaini menolak permohonan kedua untuk menyingkirkannya atas alasan hampir sama dan menyatakan hujah dikemukakan Rosmah sebagai ‘res judicata’ (keputusan dibuat tidak boleh dikaji semula), yang mana permohonan serupa dibuat dalam kes perbicaraan solar hibrid, juga ditolak.

Terdahulu, Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017.

Dalam pada itu, Pendengaran rayuan Datin Seri Rosmah Mansor terhadap sabitan, hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta bagi kes rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak, di Mahkamah Rayuan di sini ditetapkan pada 22 serta 23 Jun tahun depan

Artikel ini disiarkan pada 23/12/2022

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)