
MDA batal kelulusan dua kit ujian Covid-19
Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) menggantung kelulusan dua jenama kit ujian kendiri Covid-19 selepas mendapati prestasinya tidak mencapai tahap ditetapkan.
Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, MDA telah menguji 22 jenama kit ujian Covid-19 di pasaran selepas menerima aduan daripada orang ramai.
“Setakat ini, 12 keputusan telah diperolehi dan mendapati 2 kit tidak mencapai tahap prestasi yang ditetapkan.
“Kelulusan 2 kit ini digantung serta-merta,” katanya di Twitter hari ini.
Dua jenama berkenaan ialah Wizblue yang dikeluarkan oleh Anhui Deepblue Medical Technology Co dan Wizbiotech yang dikeluarkan oleh Xiamen Wiz Biotech Co, kedua-duanya berpangkalan di China.
Kedua-dua kit ujian Covid-19 itu masing-masing didaftarkan di Malaysia oleh Innovac Technology Sdn Bhd dan Conan Medical Technology Bhd.
Dalam pada itu, MDA turut menasihatkan pengguna agar tidak membeli atau menggunakan kit ujian kendiri Covid-19 yang tidak mematuhi keperluan pihak berkuasa itu berikutan dikhuatiri tidak selamat untuk digunakan.
Artikel ini disiarkan pada 11/04/2022