Madame Tussauds Singapore akhirnya miliki patung lilin Lee Chong Wei, atlet pertama Malaysia

BAGI kaki travel, Madame Tussauds Singapore merupakan antara lokasi wajib yang perlu dikunjungi sekiranya mereka tiba di Kota Singa.

Mana tidaknya, destinasi istimewa itu merupakan muzium lilin yang menampilkan arca lilin tokoh-tokoh terkenal serta selebriti di seluruh negara.

Dibuka pada 25 Oktober 2014, muzium ini adalah cawangan Asia ketujuh rantaian tarikan lilin Madame Tussauds di seluruh dunia.

Menariknya kali ini, arca lilin atlet yang juga pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei dipamerkan bermula 13 Oktober selepas pengumuman rasmi dibuat pada 2020.

Bukan itu sahaja, menerusi pameran ulung itu, Chong Wei juga diangkat serta berdiri sebaris atlet-atlet terkemuka dunia termasuk pemain bola sepak legenda Cristiana Ronaldo dan David Beckham.

Lee Chong Wei menempa nama di arena sukan apabila dinobatkan sebagai pemain badminton terbaik selama 349 minggu, di mana beliau menduduki tangga teratas selama 199 minggu berturut-turut.

Selain meraih 69 gelaran siri super, beliau juga telah mewakili Malaysia sebagai duta muhibah UNICEF.

Pada November 2019, pasukan Madame Tussauds telah mengambil 200 ukuran atlet ikonik itu secara teliti dalam satu sesi pengukuran badan yang berlangsung selama enam jam

Patung lilin Lee Chong Wei akan dipindahkan ke Madame Tussauds Hong Kong pada suku pertama 2023 untuk paparan kekal.

Setelah mengharungi dua tahun penuh dengan pancaroba, Madame Tussauds Singapura tidak sabar-sabar untuk mempersembahkan patung lilin Lee Chong Wei kepada para peminat di Asia Tenggara sebelum ia diabadikan di ‘kediaman tetap’ di Hong Kong.

Malah, beliau telah menyumbangkan jersi rasminya daripada persembahan terakhir Olimpik di Rio 2016, sekali gus menjadikan patung lilin itu lebih istimewa lagi.

Peminat tentunya akan teruja dengan peluang bergambar bersama patung lilin yang betul-betul seiras dengan jaguh badminton itu, sebagaimana keterujaan yang dirasai beliau sendiri.

“Saya sangat teruja kerana akhirnya dapat berkongsi patung lilin saya bersama peminat dari seluruh dunia. Pasukan di Madame Tussauds memerah keringat untuk menjayakan usaha itu.

“Mereka sungguh teliti dalam menjalankan tugas untuk ‘mencipta semula’ saya, dan saya amat menghargai peluang dan penghormatan ini,” kata Chong Wei.

Dalam pada itu, Pengurus Besar, Madame Tussauds Singapura, Steven Chung turut menzahirkan rasa bangga kerana berkesempatan menjadi tuan rumah kepada patung lilin Lee Chong Wei.

“Jaguh sukan adalah individu yang luar biasa. Mereka memiliki aura unik yang mampu menawan hati peminat dan memberi inspirasi kepada generasi muda dari seluruh dunia.

“Kami berbangga kerana dipilih sebagai Madame Tussauds pertama yang mempamerkan Lee Chong Wei, salah seorang figura tersohor di rantau ini. Di Singapura, beliau akan berdiri sebaris dengan gergasi-gergasi dalam ‘Dewan Kemasyhuran Sukan’ kami sendiri.

“Madame Tussauds Singapura dengan suka citanya mengumumkan Malaysia Airlines dan Firely sebagai rakan kongsi syarikat penerbangan rasmi untuk pelancaran ini,” tambahnya.

Peminat yang ingin menyaksikan patung lilin Lee Chong Wei boleh melayari laman sesawang Madame Tussauds Singapore di www.madametussauds.com/singapore untuk membeli tiket tarikan pelancongan sebelum ia berlepas ke Madame Tussauds Hong Kong pada suku pertama 2023 untuk paparan kekal.

Jadi, apa tunggu lagi? Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan arca lilin figura terkemuka Malaysia sementara ia dipamerkan di negara jiran.

Artikel ini disiarkan pada 16/10/2022

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)