‘LITTLE BEIJING’ DI MELAKA JADI TUMPUAN PENGUNJUNG

Kampung Baru Machap Umboo dan Kampung Machap Baru yang diibaratkan umpama ‘Little Beijing’, kembali bercahaya dan meriah dengan hiasan pelbagai lampu neon dan ribuan tanglung sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Tinjauan Bernama di Kampung Baru Machap Umboo di sini malam tadi mendapati suasana berkenaan menarik kedatangan pengunjung dari dalam dan luar Melaka untuk melihat keindahan hiasan lampu berkenaan sekali gus merakam gambar sebagai kenangan.

Sebagai contoh, selain tanglung merah berbentuk sfera, terdapat juga hiasan tanglung segi empat tepat yang dipasang bersama lampu berwarna-warni di Jalan Lampu Langit sepanjang lebih 100 meter di Kampung Baru Machap Umboo manakala laluan di dalam kawasan penempatan ‘Meihua Walk’ di Kampung Machap Baru turut dihiasi tanglung.

2 kampung di Machap jadi tumpuan

Selain itu, Tokong Cheng Leong Keng di Selandar yang terletak berhampiran dua kampung berkenaan turut dimeriahkan dengan pelbagai hiasan lampu dan menjadi tumpuan pengunjung untuk bergambar kenangan.

Penduduk Taman Mawar Jaya di sini, Musalmah Mahmud, 35, berkata beliau pertama kali berkunjung ke Kampung Machap Umboo kerana baru berpindah ke situ dari Negeri Sembilan kira-kira setahun lepas dan berasa teruja melihat keindahan hiasan lampu dan tanglung pelbagai warna dan saiz.

“Memang teruja rasanya walaupun tidak sambut Tahun Baharu Cina tetapi kemeriahannya sangat dirasai…anak-anak juga teruja dan hari-hari hendak datang lihat lampu pada waktu malam.

“Selain melihat lampu, saya juga dapat bertegur sapa dan berkenalan dengan penduduk di sekitar sekali gus menambah kenalan serta mengeratkan hubungan,” kata suri rumah kepada tiga anak itu.

Penduduk Kampung Machap Umboo Wong Suee Leong, 57, berkata sejak kampung berkenaan mula dihiasi lampu dan tanglung pada minggu lepas, dia dan isteri Cheong Sook Kim, 57, akan meluangkan masa hampir setiap malam berjalan kaki di sekitar kawasan itu untuk melihat keindahan dan kemeriahan suasana.

“Malam tiada buat apa di rumah, jadi jalan-jalan keliling kampung…memang meriah lebih-lebih lagi nak sambut Tahun Baharu Cina. Anak-anak pun teruja hendak balik kampung beraya,” katanya.

Sementara itu, Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya berkata hiasan di kedua-dua kampung berkenaan menjadi satu daripada tradisi persiapan penduduk setiap kali menjelang Tahun Baharu Cina.

Beliau berkata dianggarkan lebih RM10,000 dibelanjakan penduduk untuk memasang ribuan lampu serta tanglung berkenaan, malah kerja-kerja mencantikkan kampung turut dilakukan secara bergotong-royong.

“Dua kampung ini akan menjadi tumpuan orang ramai bukan sahaja dari dalam dan luar Melaka, malah juga dari luar negara akan datang untuk bersama-bersama meraikan Tahun Baharu Cina.

“Selain itu, tarikan di sini juga menjadi antara produk pelancongan negeri Melaka sekali gus dapat memperkenalkan kebudayaan dan adat masyarakat Cina di negeri dan negara ini serta mampu menjadi medium menyatupadukan rakyat,” katanya.

BERNAMA

Baca Juga: https://www.hotstuffmalaysia.com/langgar-sop-kewangan-wang-bantuan-awal-persekolahan-hilang/

Artikel ini disiarkan pada 18/01/2023

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (1)