Ketegangan antara Turkiye dan Greece semakin memuncak

ANKARA, Turkiye – Ketegangan antara Turkiye dan Greece semakin memuncak sejak beberapa minggu lalu dengan pasukan Pengawal Pantai Turkiye kini menuduh kapal-kapal Athens melepaskan tembakan ke arah kapal kargo milik Ankara di Laut Aegean, lapor laman berita Wion News kelmarin.

Menurut kenyataan dikeluarkan kerajaan Turkiye, tiada kematian dilaporkan dalam insiden tersebut yang berlaku di sebuah lokasi sekitar 20.3 kilometer ke barat daya Pulau Bozcaada di negara itu.

Menurut laporan, dua kapal Pengawal Pantai Turkiye melalui kawasan tersebut dan beberapa bot milik Greece melancarkan apa yang disifatkan oleh Ankara sebagai ‘tembakan menyerang’.

Pengawal Pantai Turkiye mendedahkan sebuah video yang memaparkan terdapat lubang peluru pada tingkap dan siling kapal kargo milik negara itu.

Turkiye dan Greece saling menuduh pihak satu lagi melakukan pencerobohan ke atas ruang udara masing-masing. Dua negara berjiran itu terlibat dalam pertikaian selama berdekad-dekad, namun konflik tersebut semakin meruncing sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Ketika perang tercetus antara Russia dan Ukraine, para pegawai Greece membangkitkan kebimbangan mengenai tercetusnya satu lagi konflik di Benua Eropah.

Turkiye sebelum ini menuduh Greece melanggar perjanjian antarabangsa dengan menempatkan tentera di pulau-pulau berhampiran perairannya, namun Athens menyatakan, tindakan tersebut dilakukan bagi mempertahankan kepulauan di timur negara berkenaan.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menyifatkan insiden itu sebagai ‘tidak boleh diterima’. Pada masa yang sama Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis menyatakan kelmarin bahawa Athens akan cuba memastikan saluran komunikasi dengan Ankara kekal terbuka. – Agensi

Artikel ini disiarkan pada 13/09/2022

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)