Kes Penipuan Haji Furada, 5 Kertas Siasatan Lengkap melibatkan kerugian RM5.67 juta.

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah melengkapkan lima kertas siasatan berhubung kes penipuan haji furada oleh tiga agensi pelancongan, baru-baru ini dan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam masa terdekat.

Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata lima kertas siasatan itu akan dirujuk kepada pihak AGC oleh Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Pemalsuan/Pelaburan Bersindiket) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

“Lima kertas siasatan yang sudah lengkap akan dirujuk kepada AGC bagi mendapatkan nasihat dan arahan selanjutnya.

“Dalam pada itu, siasatan berhubung kes itu masih diteruskan di beberapa negeri lain, yang mana keseluruhan 23 kertas siasatan dibuka di 11 negeri di Semenanjung Malaysia setakat ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Noorsiah memaklumkan laporan polis berhubung kes itu meningkat kepada132 laporan setakat 31 Julai lalu membabitkan jumlah kerugian mencecah RM5.67 juta

Katanya, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menerima jumlah laporan polis tertinggi dengan 52 laporan membabitkan kerugian RM2.3 juta dan dua kertas siasatan dibuka oleh kontinjen itu.

“IPK Selangor pula membuka lima kertas siasatan berhubung 33 laporan diterima membabitkan kerugian M966,100, manakala Pahang pula membuka satu kertas siasatan daripada 18 laporan polis diterima membabitkan kerugian RM1.25 juta.

“Di Johor, polis menerima tujuh laporan polis membabitkan kerugian RM226,500 dan lima kertas siasatan dibuka, manakala IPK Kelantan dan IPK Perak masing-masing enam laporan polis dengan kerugian RM280,000 dan RM203,000, dengan lima kertas siasatan dibuka,” katanya.

Sementara itu, Noorsiah berkata IPK Melaka dan IPK Kedah masing-masing menerima tiga laporan polis dengan kerugian RM251,000 dan RM48,000, seterusnya dua laporan polis diterima IPK Terengganu membabitkan kerugian RM76,000.

“Selain itu, satu laporan polis diterima IPK Pulau Pinang dan IPK Negeri Sembilan membabitkan kerugian RM32,000 dan RM16,000 dan dua kontinjen itu masing-masing membuka satu kertas siasatan.

“Tiada sebarang laporan polis diterima oleh IPK Perlis, IPK Sabah dan IPK Sarawak setakat ini,” katanya yang memaklumkan kesemua laporan polis membabitkan tiga agensi pelancongan iaitu Syarikat Al-Amin Umrahaj Management & Services, UC Travel Sdn Bhd dan Destinasi UC Resources.

Pada 7 Julai lalu, kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, dipercayai menjadi mangsa penipuan agensi pelancongan dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Tabung Haji.

Berikutan itu, polis menahan lima individu terdiri dariapda dua lelaki dan tiga wanita berusia 30 hingga 60 tahun itu. Kesemua mereka ditahan dalam serbuan di ibu negara kira-kira jam 9 malam, 8 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada 02/08/2022

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)