Kenaikkan Tarif Air Tidak Dapat Selesaikan Masalah Bekalan Air di Selangor

KUALA LUMPUR: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) digesa menyelaraskan semula keutamaan mereka dengan mengatasi masalah sedia ada seperti kehilangan air tidak terhasil (NRW) dan mengurangkan kekerapan bekalan air terputus, berbanding menaikkan tarif air.

Timbalan Setiausaha Agung MCA, Datuk Lawrence Low, berkata selama bertahun-tahun, gangguan air berjadual dan tidak berjadual menjejaskan jutaan pengguna di Selangor dan Lembah Klang, justeru, kenaikan tarif air hanya menambah kekecewaan rakyat.

Beliau mempersoalkan, adakah pihak berkuasa mempelajari bagaimana untuk menangani insiden sungai tercemar yang banyak kali berlaku dan adakah masalah berkenaan yang menyebabkan bekalan air terputus dapat selesaikan selepas kenaikan tarif air.

“Jika Air Selangor mempunyai rekod prestasi yang baik dan memerlukan lebih banyak dana untuk menaik taraf serta menambah baik perkhidmatan mereka pada masa akan datang, saya yakin majoriti rakyat tidak akan membantah langkah itu.

“Namun, bagaimana Air Selangor boleh meminta lebih banyak wang sedangkan perkhidmatan mereka selama beberapa tahun ini dipenuhi kegagalan dan pengguna yang kecewa?

“Dengan mengurangkan kehilangan NRW dikurangkan, Air Selangor akan mempunyai lebih banyak ruang untuk kewangan mereka, tanpa perlu menaikkan tarif air,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jumaat lalu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim, mengumumkan Air Selangor akan menaikkan tarif bekalan air baharu pada kadar purata 20 sen setiap meter padu membabitkan kategori pengguna bukan domestik, rumah ibadah dan kapal, berkuat kuasa 1 Ogos.

Katanya, purata kenaikan itu dianggap masih rendah dan tidak membabitkan pengguna domestik.

Lawrence berkata, ekonomi negara masih memerlukan banyak masa untuk pulih dan rakyat masih bergelut dengan inflasi.

“Walaupun kadar yang lebih tinggi hanya dikenakan kepada pengguna komersil seperti penjaja dan kilang, adalah terlalu naif untuk mengatakan kenaikan kos ini tidak akan diserahkan kepada pengguna.

“Pada akhirnya, kenaikan tarif air masih akan dirasai semua orang. Walaupun kita perhatikan tarif air tidak diselaraskan selama beberapa tahun, pelarasan ini tidak tepat pada masanya buat masa ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada 03/08/2022

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)