Insiden kebocoran gas di restoran makanan segera, 3 pengsan terhidu gas beracun

KUALA LUMPUR: Satu insiden kebocoran gas berlaku di sebuah restoran makanan segera di Jalan Pandan 2/1, Pandan Jaya, Ampang yang mengakibatkan tiga individu pengsan akibat terhidu gas beracun, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata tiga yang dilaporkan pengsan terdiri daripada dua pekerja restoran wanita dan seorang kakitangan lelaki Kementerian Kesihatan (KKM) yang cuba membantu mangsa.

Menurut Norazam, bomba menerima laporan kejadian pada jam 9.55 pagi tadi dan tiga pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BB) Pandan serta Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dari BBP Shah Alam dan Tun Razak dikejarkan ke lokasi.

“Laporan awal mengatakan berlaku kebocoran gas dalam restoran berkenaan dan terdapat tiga individu dilaporkan pengsan termasuk seorang kakitangan KKM yang masuk ke dalam restoran untuk membantu dua pekerja yang pengsan.

“Pihak bomba sedang mengawal keadaan dengan tidak membenarkan mana-mana orang memasuki restoran itu bagi tujuan keselamatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Norazam berkata, tiga mangsa yang pengsan kemudian dibawa ke sebuah hospital berhampiran dengan menaiki ambulans KKM.

Beliau menambah, anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) kini sedang melakukan pemeriksaan dan siasatan lanjut di lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada 10/10/2022

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)