Hari Kemerdekaan Indonesia disambut di ibu kota baharu

SEPAKU: Indonesia meraikan sambutan Hari Kemerdekaan buat pertama kalinya di hutan hujan purba di timur Borneo yang bakal menjadi ibu kota baharu negara itu pada masa akan datang.

Negara itu merancang untuk meninggalkan Jakarta yang kini terlalu padat, sesak dan semakin tenggelam.

Ibu kota yang bakal menjadi pusat politik baharu negara keempat terbesar di dunia itu akan dibangunkan di Nusantara, yang terletak 2,000 kilometer (km) dari Jakarta.

Ia adalah projek yang menjadi legasi kepimpinan Presiden Joko Widodo.

Projek itu bagaimanapun menerima tentangan daripada aktivis alam sekitar yang memberi amaran ia boleh mempercepatkan kemusnahan hutan tropika yang menjadi rumah kepada habitat hidupan liar seperti orang utan.

Namun, kerajaan sedang bersedia untuk meningkatkan projek infrastruktur di kawasan Pulau Borneo itu, membabitkan kira-kira 56,180 hektar sebelum tempoh pentadbiran Widodo berakhir, dua tahun lagi.

Ketua Pihak Berkuasa Ibu Negeri, Bambang Susantono, yang akan mentadbir bandar baharu itu, berkata Indonesia memanfaatkan semangat kemerdekaan ini untuk menjayakan pembukaan kota berkenaan kelak.

“Pengisian utama (majlis) adalah untuk mengambil semangat Hari Kemerdekaan ke-77 untuk mengukuhkan azam dan semangat kami bagi membina ibu kota baharu,” katanya.

Selepas bendera kebangsaan dikibarkan, pekerja di tapak pembangunan ibu kota baharu itu bersorak dengan melaungkan ‘bersedia untuk membangunkan Nusantara’.

Menurut sumber pegawai kerajaan, ibu negara baharu itu akan mengambil masa beberapa dekad untuk disiapkan sepenuhnya sebelum boleh didiami sehingga dua juta penduduk, sekali gus membantu menyebarkan pertumbuhan ekonomi ke wilayah yang kurang membangun.

Jakarta didiami kira-kira 30 juta penduduk dan sudah lama dibelenggu dengan masalah infrastruktur serius dan banjir yang diburukkan oleh perubahan iklim.

Bandar itu dikesan tenggelam sebanyak 25 sentimeter setahun di beberapa kawasan iaitu dua kali ganda lebih cepat daripada purata global untuk bandar pantai utama.

Sesetengah pakar meramalkan satu pertiga daripada megalopolis itu mungkin berada di bawah air menjelang 2050. – AFP

Artikel ini disiarkan pada 18/08/2022

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)