Guan Eng beritahu PM, jangan buang masa bentang bajet 2023, jika niat nak bubar parlimen

PETALING JAYA: Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob diingatkan “jangan membuang masa” wakil rakyat untuk membahaskan Bajet 2023 sekiranya berniat untuk membubarkan Parlimen, kata Pengerusi DAP Lim Guan Eng.

Katanya, sekiranya Ismail mahu membentangkannya, ia perlu diteruskan sehingga sempurna.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan, berkata Pakatan Harapan (PH) akan mempertimbangkan sama ada ingin menyokong atau menolak belanjawan itu hanya selepas ia dibentangkan.

“Kita tidak mahulah buat spekulasi awal-awal, tetapi kita akan pertimbangkan dulu sama ada bajet ini benar-benar untuk rakyat atau bagaimana.

“Saya nak ingatkan perdana menteri, kalau ada niat nak bubar, jangan bentang bajet, buang masa kami sahaja. Tetapi kalau dah bentang, teruskan sahaja sehingga sempurna,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Sementara itu, veteran DAP, Lim Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, berkata sebanyak lima rang undang-undang telah diluluskan, semalam, akan terluput sekiranya Parlimen dibubarkan sebelum ia diluluskan di Dewan Negara, diberikan perkenan Yang di Pertuan Agong dan diwartakan.

“Seorang perdana menteri yang bertanggungjawab tidak patut dengan sengaja menghina Parlimen dengan membuat Dewan Rakyat membahas dan meluluskan RUU yang tidak menjadi undang-undang akibat pembubaran Parlimen,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin dari PKR, berkata, beliau yakin yang bajet kali ini adalah ‘gula-gula’ untuk rakyat.

“Sudah semestinya kerajaan akan menggunakan kedudukan sebagai kerajaan untuk memberi gula-gula semaksimum kepada pengundi mereka.

“Bagaimanapun, selepas pilihan raya umum lalu sehingga sekarang, rakyat dah cerdik, mereka tahu apa itu gula-gula pilihan raya atau menjamin masa depan anak cucu kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada 04/10/2022

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)