Elizabeth Tan beri amaran jangan keterlaluan, saya takkan layan

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Elizabeth Tan, 28, mendedahkan masih berdepan gangguan daripada individu yang tidak dikenali di media sosial, meskipun kebanyakan mereka maklum statusnya sebagai isteri orang.

Penyanyi lagu Semua Sudah itu berkata, kebanyakan gangguan yang bersifat keterlaluan dan tidak bermoral itu dihantar menerusi Direct Message (DM) di Instagram.

“Macam-macam benda yang saya terima. Gambar tidak senonoh pun ada.

“Saya tidak akan layan, sebaliknya hanya gelakkan sahaja. Selagi boleh bersabar, saya cuba untuk tidak mengambil endah.

“Saya hanya akan melenting apabila ada pihak bertindak keterlaluan sehingga menghina kaum atau agama orang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Penyanyi yang mesra disapa Lizzy ini berkata, dia enggan ambil pusing terhadap gangguan seksual yang menjengah di ruangan komen atau mesej media sosialnya.

“Selagi perbuatan mereka tidak mengancam keselamatan, saya okey. Namun, itu tidak bermakna mereka bebas berbuat apa-apa sahaja.

“Setiap orang ada hak bersuara di media sosial. Jika mereka berpendapat saya seksi, itu hak mereka kerana saya tidak rasa begitu,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada 07/09/2022

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)