Dr Hisham tegur Noh Salleh pegang rokok di KLFW2022

Kuala Lumpur: Kelakuan penyanyi Noh Salleh yang dilihat memegang sebatang rokok tidak dinyalakan ketika muncul di pentas peragaan Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2022 (KLFW2022) di ibu negara, baru-baru ini, turut mendapat reaksi Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius terhadap isu berkaitan artis yang menonjolkan tingkah laku seperti merokok dan menghisap vape di khalayak ramai.

Perbuatan seperti itu, katanya, menunjukkan contoh yang tidak baik kepada masyarakat sekeliling terutama kepada kanak-kanak dan remaja.

“Dari sudut kesihatan, perbuatan merokok atau menghisap vape sememangnya mendatangkan kemudaratan baik kepada perokok dan orang di sekeliling mereka.

“Sebagai seorang selebriti, tingkah laku mereka sentiasa diperhatikan oleh masyarakat dan akan menjadi ikutan.

“Oleh itu, sebagai selebriti mereka mempunyai tanggungjawab untuk menunjukkan tingkahlaku yang baik yang boleh menjadi teladan kepada masyarakat.

“Ini juga adalah selaras dengan hasrat KKM untuk membentangkan Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 supaya kawalan terhadap produk merokok secara komprehensif dapat dilaksanakan bagi mengekang masalah merokok di kalangan masyarakat Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu juga, katanya, KKM menyeru setiap lapisan masyarakat termasuk artis dan selebriti untuk membantu usaha KKM bagi memastikan perbuatan merokok dapat dijadikan sebagai satu budaya yang tidak diterima lagi dalam kalangan masyarakat.

Sebelum ini, Noh yang juga penyanyi kumpulan Hujan pernah mencetus sensasi gara-gara selamba menghisap rokok elektronik ketika ditemu bual media dalam sebuah acara sekitar Julai lalu.

Noh yang pada ketika itu ditanya tentang spekulasi keretakan rumah tangganya bersama Mizz Nina menghembuskan asap rokok elektronik di hadapan wartawan yang mengerumuninya.

Pasangan itu berkahwin pada 2 Julai 2011 dan tidak dikurniakan cahaya mata tetapi mereka mengambil seorang anak angkat bernama Musa sekitar April lalu.

Baru-baru ini, Harian Metro melaporkan Noh dan Mizz Nina bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur.

Artikel ini disiarkan pada 24/08/2022

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)