Delegasi diketuai Tengku Zafrul ke Itali tarik FDI berpotensi RM3.25 bilion – MIDA

Delegasi lawatan kerja yang diketuai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ke Itali baru-baru ini menarik pelaburan langsung asing (FDI) berpotensi bernilai RM3.25 bilion.

Dalam kenyataan pada Selasa, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menjelaskan lawatan kerja itu bertujuan memperkukuh hubungan perniagaan antara kedua-dua negara.

“Hasilnya, beberapa syarikat Itali telah menyatakan minat untuk melabur di Malaysia memandangkan kedudukan strategik negara sebagai pintu masuk ke Asean dan rantau Asia Pasifik.

“Keseluruhan lawatan itu juga berjaya menarik FDI berpotensi bernilai RM3.25 bilion, yang dijangka direalisasikan mulai 2023 dan seterusnya,” menurut MIDA.

Justeru, MIDA bersedia menggandakan usaha membuka laluan kepada pelabur asing yang ingin menjadikan Malaysia sebagai hab pelaburan mereka, jelasnya.

Lembaga itu menambah, ini termasuk pelabur dari Itali yang baru-baru ini dimaklumkan mengenai peluang perniagaan masa depan Malaysia-Itali di samping kerjasama strategik khususnya dalam bidang industri kimia, teknologi hijau, e-Ekonomi, teknologi pintar dan rantaian nilai Revolusi Perindustrian 4.0.

Menurut kenyataan itu, Tengku Zafrul berkata sejajar dengan komitmen kerajaan untuk menjadi properniagaan, propelaburan dan properdagangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta agensi di bawahnya bersedia meningkatkan hubungan dengan pelabur yang membawa masuk pelaburan berteknologi tinggi dan berkualiti sekali gus akan membantu mewujudkan pekerjaan dengan gaji lebih tinggi untuk rakyat Malaysia.

“Apa yang penting sekarang adalah menangani semua masalah berulang yang dihadapi pelabur, dalam usaha meningkatkan keseluruhan aspek mudah menjalankan perniagaan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata dari sudut pandang FDI, Malaysia telah dikenali atas lokasinya yang strategik di Asia Tenggara, ekosistem industri yang pelbagai dan kumpulan bakat yang berkelayakan.

Semasa lawatan itu, menteri mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin perniagaan terkemuka dan bakal pelabur melalui mesyuarat bersemuka satu dengan satu.

Itali ialah pelabur asing kesembilan terbesar di Malaysia daripada Kesatuan Eropah.

Menurut MIDA sehingga September 2022, sebanyak 77 projek pembuatan dengan penyertaan Itali telah dilaksanakan dengan jumlah pelaburan US$382 juta (RM1.4 bilion), mewujudkan 4,346 peluang pekerjaan.

Ia menambah, sebagai antara negara yang telah mewujudkan banyak syarikat berteknologi tinggi bertaraf dunia di seluruh dunia, Itali mampu menawarkan banyak teknologi terkini dan kepakaran pendigitalan.

“Justeru, kehadiran syarikat Itali di Malaysia dilihat penting untuk memudahkan pemindahan teknologi bagi mewujudkan lebih ramai pekerja Malaysia berpengetahuan,” jelasnya.

BERNAMA

Baca juga : https://www.hotstuffmalaysia.com/pemilik-syarikat-didakwa-buat-tuntutan-palsu-program-penjana-kerjaya-perkeso/

Artikel ini disiarkan pada 24/01/2023

CATEGORIES