Debaran hari bahagia kian terasa

BERBELAS tahun hidup solo sebagai ibu tunggal, ternyata bukan mudah bagi penyanyi dangdut terkenal yang mesra dengan sapaan ‘mommy’ iaitu Mas Idayu membuat keputusan berkahwin lagi.

Namun, perancangan Allah itu terbaik dan urusan jodoh adalah antara ketentuan-Nya yang tiada siapa tahu sehingga ‘serunya’ tiba. Begitulah juga dengan Mas Idayu yang tidak menyangka bahawa ada jodoh baharu buatnya.

Bersua dengannya pada majlis sidang media pengumuman perkahwinan dan pelancaran produk penjagaan kulit Twenty yang berlangsung di Magica Hall Cheras, kelmarin, Mas Idayu tampil cantik dan raut wajahnya jelas bahagia umpama ‘seri pengantin’.

Berbicara mengenai majlis perkahwinan yang akan berlangsung pada 16 September depan, ibu seorang anak ini bakal menamatkan status solonya dengan lelaki pilihan yang juga Penerbit Eksekutif TV3, Muhammad Sufian Che Isa, 51.

Mas Idayu berkata dia tidak menduga hatinya akan terbuka menerima kehadiran Sufian yang dipanggil ‘daddy’ untuk menjadi peneman hidup. Jelasnya, apatah lagi, selepas sekian lama tidak berteman, dia bagaikan tak percaya perkahwinan.

“Tapi dengan dia (Sufian), nampaknya terbuka juga pintu hati saya dan itu yang difikirkan. Kalaulah tak bahagia, rasanya memang saya tidak sampai hingga ke sini (merancang untuk berkahwin lagi).

“Sebelum ini, ramai juga (lelaki) yang saya kenal. Tapi, yang datang itu kebanyakannya lebih muda daripada saya. Namun, yang dia (Sufian) ini pula, sekali datang tiba-tiba saya suka. Walaupun jumpa pertama kali hanya berbincang mengenai Anugerah Juara Lagu (AJL).

“Kemudian, jumpa kali kedua sambil keluar minum kopi. Tapi, kali ini kita jumpa, boraknya lebih dalam dan kali ketiga jumpa, lebih ke arah untuk kenal keluarga. Malah, saya tak sangka apabila Ramadan kami keluar berbuka bersama, terus ‘viral’.

Rupanya orang ambil tahu juga pasal Mas Idayu ini,” katanya.

Sehubungan itu, majlis pernikahan pasangan sejoli ini pada pertengahan September depan, akan berlangsung di Magica Quill City, Kuala Lumpur, jam 9 pagi dan pada sebelah malam pula, diadakan majlis resepsi dengan tema ‘fairy tale’.

Difahamkan juga, majlis pernikahan dan resepsi mereka mendapat tajaan dianggarkan RM7 juta, merangkumi lokasi, katering, busana dan aksesori. Termasuk, ia juga dikatakan bakal mencipta rekod dalam Buku Rekod Malaysia (MBOR) serta digelar ‘wedding of the year’.

Terdahulu, Mas Idayu dan Sufian dikatakan saling mengenali sejak program Mentor 3 pada 2008 lalu dan baharu menjalin hubungan serius pada tahun ini. Malah, Sufian juga menghantar tanda untuk Mas Idayu dalam satu majlis diadakan di rumah keluarga penyanyi lagu Robek Hatiku itu, di Kota Tinggi, Johor, pada Mei lalu.

Sebelum ini, Mas Idayu pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Aman Graseka pada 1997 dan dikurniakan anak perempuan, Nur Dayini Asyiqa yang kini berusia 25 tahun. Bagaimanapun, mereka bercerai pada 2006.

Mas Idayu yang masih aktif dalam karier seni iaitu sebagai penyanyi dan pelakon, turut terbabit diundang sebagai juri profesional untuk acara hiburan seperti pencarian bakat dalam nyanyian sehingga ke negara jiran, Indonesia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Artikel ini disiarkan pada 23/08/2022

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)