Cuti kamu hampir tamat, bilang Anwar kepada Mazlee

Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik membayangkan dia mungkin kembali berkhidmat dengan kerajaan baru selepas bertemu dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Maszlee menyiarkan beberapa siri gambar termasuk dirinya dan Anwar pada mesyuarat majlis pimpinan pusat (MPP) PKR.

“Kami di MPP PKR berdiri teguh bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan keutuhan kerajaan perpaduan dan penerusan agenda reformasi demi kesejahteraan rakyat dan negara.

“Ahli MPP bertekad untuk memastikan parti akan terus relevan dan menjadi parti pilihan utama rakyat berbilang bangsa di tanah air ini.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim bilang: “Just get ready, your sabbatical will soon be over!” (Bersiap sedia, cuti sabatikal kamu akan tamat tak lama lagi,” kata Maszlee pada hantaran di Facebook.

Tiada butiran lanjut diberikan tentang bila atau dalam bentuk apa Maszlee akan kembali bekerja untuk kerajaan.

Maszlee tidak berjaya mempertahankan kerusi Simpang Renggam pada pilihan raya umum ke-15, tewas kepada calon BN Hasni Mohammad.

Pada masa ini, Maszlee tidak mempunyai sebarang jawatan rasmi dalam kerajaan.

 

Artikel ini disiarkan pada 09/01/2023

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)