Bung dijangka jadi ‘korban’ rombakkan Jemaah Menteri Sabah

Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, akan merombak Jemaah Menteri selepas cubaan menggulingkan pentadbiran GRS semalam gagal menjadi kenyataan.

Timbalannya, Bung Moktar Radin, yang dikaitkan dengan cubaan itu dijangka menjadi korban dalam rombakan itu.

Menurut sumber yang dekat dengan Hajiji, ada kemungkinan ketua Umno Sabah itu digugurkan, bersama Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Jafry Ariffin.

Namun, tidak semua pemimpin BN Sabah akan digugurkan, tambahnya.

“Hal ini dibincangkan semalam. Bukan bercerai dengan BN Sabah. Hajiji hanya mahu pastikan kerajaan terus berfungsi,” kata sumber itu.

Sumber itu juga memberitahu bahawa, pengerusi Gabungan Rakyat Sabah itu akan membawa masuk ADUN Pakatan Harapan Sabah ke dalam Jemaah Menteri.

Terdahulu, dilaporkan tujuh ADUN Umno Sabah termasuk timbalan Bung, Yakub Khan, bertemu Hajiji semalam.

“Selain tujuh orang itu, sekurang-kurangnya tiga ADUN Warisan pun ada bertemu Hajiji,” kata sumber itu, yang enggan berkongsi butiran perbincangan itu.

Adalah difahamkan bahawa Hajiji akan bertemu Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jeffrey Kitingan, hari ini. STAR mempunyai enam wakil rakyat.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking berkata partinya membuat keputusan untuk tunggu dan lihat.

Himpunan para ADUN Umno Sabah di ibu pejabat parti itu di Kota Kinabalu semalam mencetuskan khabar angin tentang suatu kerjasama dengan Warisan untuk menyingkir Hajiji.

Presiden Warisan, Shafie Apdal, membatalkan sidang media pada 4.30 petang selepas dua jam tertangguh.

Terdahulu, ADUN GRS dan Pakatan Harapan mengikrar sokongan kepada Hajiji.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata keadaan politik di Sabah sudah tenang menyusuli babak rampasan kuasa yang tidak menjadi kenyataan semalam.

“Saya nampak tidak ada apa-apa perkembangan, cuma dimaklumkan ada beberapa isu,” katanya kepada pemberita di Masjid Bukit Aman petang tadi, ketika ditanya mengenai situasi semasa di Sabah.

Anwar bagaimanapun tidak menghuraikan isu yang dikatakan itu, namun meminta Ketua Menteri Hajiji Noor mengadakan perbincangan dengan parti-parti lain di negeri itu.

“Saya minta ketua menteri bincang dengan baik dengan rakan-rakan di Sabah,” katanya, dan menambah beliau telah menghubungi pemimpin tertinggi parti-parti di negeri itu, termasuk Umno, DAP, dan Warisan.

“Saya tidak fikir ada apa-apa gejolak yang berlaku,” tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada 06/01/2023

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)