Bomba hantar 25 tan bekalan makanan kepada Orang Asli

GUA MUSANG, 24 Jan — Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meneruskan misi menghantar 25 tan bekalan makanan ke enam pos Orang Asli di sini bermula semalam.

Detasmen Komander Operasi Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Selangor, Penguasa Kanan Bomba II Wahyudi Mohd Sayuhti berkata operasi diteruskan setelah mengalami kelewatan akibat hujan lebat berterusan di jajahan itu sejak Jumaat lepas.

Bomba hantar 25 tan bekalan makanan kepada Orang Asli

“Operasi semalam (Isnin) bermula pukul 10 pagi membabitkan dua pesawat iaitu Agusta A109E dan Agusta Westland AW189.

“Sebanyak 5.9 tan makanan berjaya dihantar setakat ini ke Kampung Gawin dan Kampung Gob di Pos Gob, Kampung Jader dan Kampung Ladoi di Pos Simpor serta Kampung Sempadik di Pos Belatim,” katanya kepada pemberita di Padang Kompleks Serbaguna Majlis Daerah Gua Musang di sini hari ini.

Beliau berkata penugasan penghantaran bantuan akan diteruskan memandangkan cuaca ketika ini berada dalam keadaan baik.

“Walau apa pun situasi, kami tetap komited dalam melaksanakan tugas kerana ini bukanlah pengalaman kami berdepan situasi sebegini,” katanya dan menambah operasi itu turut melibatkan kerjasama JBPM Gua Musang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

BERNAMA

Baca juga :https://www.hotstuffmalaysia.com/sarjan-mengaku-tidak-bersalah-terima-suapan-rm1500/

Artikel ini disiarkan pada 24/01/2023

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (1)