Bajet 2023 memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi negara

JELI: Pembentangan Bajet 2023 bulan depan bakal memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata ia meliputi rancangan jangka pendek dan sederhana kepada keperluan transformasi ekonomi.

“Kita harus perkenal langkah-langkah pembaharuan kerana sekiranya berterusan dengan cara lama, kita tidak akan berjaya.

“Transformasi ekonomi adalah penting supaya lebih kukuh dan berdaya tahan dalam menangani sebarang cabaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada 64 pelajar cemerlang di Parlimen Jeli, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, kerajaan memberi tumpuan utama dalam menangani isu ekonomi bagi memastikan ekonomi negara terus kukuh.

“Jika sebelum ini tumpuan utama diberikan kepada aspek kesihatan COVID-19, namun selepas hampir selesai COVID-19, kita memberi tumpuan kepada ekonomi.

“Kita mahu pastikan bagaimana inflasi terus terkawal, bagaimana peluang pekerjaan terus diwujudkan dan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) terus dibantu.

“Ini keutamaan kita dan apa sahaja yang kurang, kita akan terus perbaiki,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, mengesahkan Bajet 2023 akan dibentang pada 7 Oktober depan, berbanding jadual asal pada 28 Oktober.

Katanya, sesi sidang Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-14 (2022) juga diawalkan pada 3 Oktober hingga 29 November 2022 bagi Dewan Rakyat (32 hari) dan 21 November hingga 7 Disember 2022 (11 hari) bagi Dewan Negara, dipercepatkan 23 hari daripada takwim asal.

Artikel ini disiarkan pada 25/09/2022

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)