Babi yang dijangkiti ASF akan dilupuskan

GEORGETOWN – Operasi memusnahkan babi yang dijangkiti wabak demam babi Afrika (ASF) membabitkan kira-kira 1,500 haiwan ternakan itu di sebuah ladang di Seberang Perai Selatan (SPS), selesai dijalankan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Mohd Sayuthi Bakar, berkata kes jangkitan ASF kedua membabitkan sebuah lagi ladang ternakan babi di Kampung Valdor masih dipantau.

“Kandang kedua masih di peringkat pemantauan dan semakan mendapati memang berlaku jangkitan tetapi angka kematian tidak begitu tinggi.

“Kita menunggu keputusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri sama ada semua babi di ladang itu akan dimusnahkan dan jika perlu, kita lakukan secara berperingkat,” katanya.

BACA : Ketika saya dibuang, Indonesia terima saya sebagai sahabat sejati – Anwar

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen Hari Tanpa Tunai Agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, hari ini.

Mohd Sayuthi berkata, ladang kedua itu mempunyai 2,500 ekor babi, lebih banyak berbanding ladang pertama yang dijangkiti ASF sebelum ini.

Beliau berkata, JPV negeri sentiasa memantau perkembangan kes ASF berkenaan supaya tindakan pantas dapat diambil bagi mengawal jangkitan wabak.

“Buat masa ini, kes ASF masih terkawal dan kita kendalikan pada peringkat daerah kerana hanya membabitkan Seberang Perai Selatan buat masa ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata tiada jangkitan baharu dilaporkan dengan kes terkumpul positif ASF kekal dua kes setakat ini.

Beliau berkata, kematian babi dijangkiti ASF berlaku antara 10 hingga 20 ekor dalam satu-satu masa dan kerja pelupusan bertumpu kepada ternakan yang mati terlebih dahulu.

Ditanya sama ada ladang terbabit beroperasi tanpa lesen, beliau berkata fokus utama ketika ini memastikan wabak ASF tidak merebak ke kandang-kandang babi lain di negeri ini.

“Sekarang penternakan dilakukan di ladang tertutup, ada yang berlesen dan ada masih dalam proses pematuhan,” katanya.

Bharian

Artikel ini disiarkan pada 10/01/2023

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)