Anggota polis terjebak rasuah, tiada kompromi

Kuala Lumpur – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan segelintir ahli pasukannya yang ingkar dan enggan mengubah sikap ke arah lebih baik serta menghindari rasuah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, beliau tidak menafikan bahawa dalam lebih 100,000 warga pasukan, masih ada segelintir yang sukar mengubah sikap meskipun mereka sedar bahawa seragam biru keramat yang disarung menuntut mereka menjadi lebih baik.

BACA : Syamsul sekat nombor isteri sebab nak elak bertengkar

Menurutnya, dalam hal ini, sekiranya terdapat mana-mana pegawai yang masih tersasar dan tidak kembali ke jalan yang benar, penyelia perlu memainkan peranan mendokumentasikan salah laku secara sistematik mengikut garis panduan dan peraturan ditetapkan.

“Kita tidak boleh dan tidak akan berkompromi kepada segelintir mereka yang ingkar.

“Ini bukan bertujuan menzalimi, tetapi mereka sendiri yang menzalimi pasukan. Kita tidak mahu majoriti terpalit dengan sikap hanya segolongan yang tidak menyayangi pasukan ibarat setitik nila yang merosakkan sebelanga susu,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara di Dataran Kompleks 3, Bukit Aman, di sini, hari ini.

Acryl Sani berkata, bagi majoriti yang jujur, ikhlas dan komited, syabas diucapkan walaupun mereka tidak menerima sebarang pujian.

“Yakinlah bahawa setiap kejujuran dan keikhlasan pastinya akan diberi balasan yang sebaik-baiknya kerana itu adalah janji Allah SWT,” katanya.

Terdahulu pada majlis itu, beliau turut menyampaikan Sijil Penghargaan Tolak Rasuah kepada warga PDRM, sebagai menghargai tindakan mereka dalam melaporkan pemberian serta penerimaan rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga kes berkenaan disabitkan dengan kesalahan oleh mahkamah.

Seramai 27 penerima sijil terdiri daripada tujuh pegawai kanan dan 20 pegawai rendah manakala dua daripada penerima yang meninggal dunia, sijil itu akan diterima oleh waris masing-masing.

Beliau berkata, PDRM amat berbangga kerana mereka memartabatkan imej PDRM dalam melaksanakan tanggungjawab amar makruf nahi mungkar ketika menjalankan tugas.

“Tindakan menolak pemberian sogokan dan melaporkan aktiviti terkutuk itu adalah satu ‘keberanian’ yang ada kalanya sukar dilakukan oleh segelintir pihak, sekali gus membuktikan betapa tingginya maruah diri tuan-tuan yang tidak mudah digadaikan dengan nilai wang ringgit,” katanya.

Metro

Artikel ini disiarkan pada 11/01/2023

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)