Al Jufferi dinobat Ikon Sukan Terbaik AIS

Kuala Lumpur: Pastinya ia detik ini akan diingati buat pesilat negara Mohd Al Jufferi Jamari yang menutup kariernya dengan kejayaan penuh gemilang apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Ikon Sukan Terbaik pada Malam Kemuncak Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro (HM) di sini hari ini.

Al-Jufferi yang secara rasmi mengucapkan selamat tinggal kepada dunia persilatan profesional pada Ogos lalu menutup kariernya dengan empat gelaran juara dunia turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ikon Sukan Lelaki Gardenia Breakthru.

Kejayaan itu menyaksikan Al-Jufferi membawa pulang sebuah kereta elektrik jenama Appollen A1 (hatchback 5 pintu) bernilai RM136,000, wang tunai RM5,000, sebuah trofi dan langganan percuma akhbar digital HM selama setahun.

Manakala penerjun sensasi negara yang turut beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang lalu, Nur Dhabitah Sabri diumumkan sebagai penerima Anugerah Ikon Sukan Wanita Gardenia Breakthru.

Kejayaan Cheah Liek Hou yang meraih emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dalam kategori SU5 (kecacatan fizikal) selain muncul juara dunia sebanyak enam kali menjadi pilihan undian pembaca dan juri apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ikon Sukan Paralimpik.

Bagi kategori Ikon Sukan Jurulatih, air tangannya jarang mengecewakan dan usaha kerasnya selama ini dalam mendidik nama-nama pemain badminton terkemuka negara seperti Datuk Lee Chong Wei, Lee Zii Jia dan terbaharu Justin Hoh membolehkan Datuk Misbun Sidek diumumkan sebagai pemenang Ikon Sukan Jurulatih.

Sementara itu bagi Ikon Sukan Persatuan/ Kelab dimenangi Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) manakala Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dinobatkan sebagai Ikon Sukan Kepimpinan.

Atlet menembak yang semakin meningkat naik Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ikon Sukan Harapan menewaskan empat calon yang lain manakala Datuk Azizulhasni Awang diumumkan sebagai penerima Anugerah Ikon Sukan Pempengaruh.

 

Baca: KDA FC beri perhatian pasukan B23 hadapi Liga Malaysia

Bagi menghargai jasa dan sumbangannya dalam pembangunan industri sukan tempatan jaguh boling negara Shalin Zulkifli diumumkan sebagai penerima kategori Khas, Anugerah Ikon Sukan Legenda.

Kesemua pemenang sembilan kategori AIS yang dipertandingkan ini membawa pulang sebuah trofi, wang tunai RM5,000 dan langganan e-paper Harian Metro selama setahun.

AIS buat julung kalinya dianjurkan oleh HM memberi pengiktirafan kepada atlet, paralimpik dan penggiat industri sukan, termasuk kelab dan persatuan sukan atas kejayaan dan kecemerlangan mereka dalam kejohanan di dalam negara dan juga antarabangsa.

Pemenang akan dinilai menerusi 50 peratus markah dari juri profesional dan 50 peratus undian peminat.

hmetro

Artikel ini disiarkan pada 09/01/2023

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (1)
  • […] kami tetap bangga sampai separuh akhir, kita perlu teruskan fokus untuk Piala Asia,” katanya.Baca:Al Jufferi dinobat Ikon Sukan Terbaik AIS (hotstuffmalaysia.com)Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon pada Piala AFF 2022 ini diperkuatkan oleh […]