Aksesori batik buatan tangan pikat generasi muda sekarang

KUALA LUMPUR: Motif batik semakin mendapat tempat di hati anak muda bukan sahaja melalui pakaian, namun kini turut diketengahkan dalam aksesori wanita menerusi pelbagai teknik seni kraf.
Kreatif mencipta aksesori seperti subang, gelang dan sepit rambut yang tampak unik serta sesuai dengan cita rasa anak muda, Dayang Nur Syafiqah M.Roslan, 27, berpandangan batik tidak patut terbatas sebagai pakaian formal atau kain sarung di rumah.

“Pada saya batik juga patut dipakai secara kasual termasuk ketika melakukan aktiviti santai pada hujung minggu, misalnya ketika pergi membeli-belah.

“Jadi apa yang cuba saya usaha dan tampilkan adalah memodenkan warisan tradisional ini kepada kontemporari namun masih sesuai dengan budaya hidup masyarakat kita,” katanya kepada Bernama.
Pemegang Diploma Rekabentuk Fesyen dan Tekstil dari Malaysia Institute of Arts itu berkata beliau mendapat ilham untuk menghasilkan aksesori buatan tangan sepenuhnya itu apabila menyedari ia lebih mendapat sambutan berbanding pakaian terpakai atau ‘bundle’ yang dijualnya ketika jualan but kereta pada 2019.

“Pada waktu itu saya hanya mencuba menjual aksesori ini sebagai jualan sampingan, tapi tak sangka ia pula yang lebih laris dan habis dijual terlebih dahulu,” katanya yang kini menjalankan perniagaan secara dalam talian menggunakan label Oh Dayang.
Lebih membanggakan, hasil kreativitinya bukan sahaja menawan generasi muda berusia lingkungan 18 ke 35 tahun, malah pernah mendapat tempahan pelanggan dari luar negara termasuk Amerika Syarikat, Australia, Hong Kong dan Singapura.
Dayang Nur Syafiqah berkata beliau mengambil masa antara 10 minit ke dua hari untuk menyiapkan setiap aksesori antaranya melibatkan proses seperti pengukiran (carving), pemotongan, penampalan dan pengeringan gam.
Katanya aksesori yang dijual pada harga bermula RM30 hingga RM65 itu dihasilkan bergantung kepada kelapangan masa dan beliau sering menyertai jualan bazar bagi memperkenalkan jenama tersebut kepada orang ramai.
Bercerita lanjut, ibu kepada dua cahaya mata itu berkata pemilihan kain batik bergantung kepada jenis corak selain warna terang yang sering menjadi pilihan, bukan sahaja untuk produk siap malah tempahan khas.
“Saya tidak membataskan jenis batik digunakan kerana semuanya mempunyai keistimewaan sendiri tetapi selalunya saya menggunakan batik Malaysia terutama batik Terengganu,” katanya yang secara purata mampu menghasilkan sehingga 50 aksesori sebulan.
Dayang Nur Syafiqah yang bekerja sepenuh masa di sebuah syarikat e-dagang berkata selain menjana pendapatan tambahan, hobi berkenaan membolehkan beliau memanfaatkan ilmu selain mengekspresikan karya seni yang menjadi minatnya sejak kecil.

ASTROAWANI

Baca juga:https://www.hotstuffmalaysia.com/jururawat-suri-rumah-didakwa-perdagangkan-bayi/

Artikel ini disiarkan pada 25/01/2023

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (1)