7 pemain import dilabel paling ‘gagal’ di Liga Super

Kos yang besar untuk membawa masuk pemain import setiap musim sudah semestinya, bikin ramai peminat bola sepak tanah air mengharapkan supaya mereka melakar kejayaan bagi mewakili setiap pasukan khususnya bagi saingan Liga Super.

Tambahan pula, perlawanan Liga Super yang sedang berlangsung sememangnya merupakan perlawanan penting bagi setiap pasukan yang terlibat, apatah lagi peminat.

Baca Juga : Lima ‘wonderkid’ menyinar di Liga Super Malaysia 2022

Berikut adalah senarai 7 pemain import yang disifatkan paling gagal dalam saingan Liga Super musim terdahulu dan kini.

Isaac Pupo

Bekas pemain kebangsaan Liberia itu memasuki umur 29 tahun ketika menjejakkan kaki di Kelantan FC. Tetapi nampaknya anak buah hasil tuaian Persabaya Surabaya itu telah mencapai tahap tertingginya dan akhirnya Pupo tidak mencapai prestasi yang diharapkan. Kelantan telah menunjukkan jalan keluar kepada Pupo hanya 4 bulan selepas menandatanganinya pada tahun 2015.

Bekas pemain kebangsaan Liberia, Isaac Pupo

Hal ini juga kerana Azraii Khor membantah sikap dua ayam importnya iaitu Pupo dan penyerang dari Cameroon, Emmanuel Kenmogne, dan mendakwa mereka berdua tidak menunjukkan minat untuk bermain.

Pablo Aimar

Tidak dinafikan, Pablo Aimar sememangnya satu nama besar yang telah hadir di Malaysia. Namun beliau juga merupakan kegagalan terbesar pemain import di Malaysia.

Pablo Aimar dilihat sering BERGELUT dalam mencapai tahap kecergasannya.

Bekas pemain kelab juara La Liga dan Eufa Cup bersama Rafael Benitez, Valencia, hanyalah indah khabar dari rupa ketika bersama dengan skuad Harimau Selatan itu. JDT akhirnya menanmatkan karier Pablo Aimar yang sering BERGELUT dalam mencapai tahap kecergasannya. Aimar yang pernah menjadi idola Lionel Messi suatu ketika dahulu akhirnya kembali ke kelab zaman kanak-kananknya iaitu River Plate sebelum akhirnya bersara pada tahun 2015.

Mahmoud Za’tara

Prestasi tidak menentu penyerang dari Jordan yang bermain di Sri Pahang FC ini tidak disenangi penyokong kelab tersebut yang mahukan pemain itu dibuang serta-merta.

Setakat ini, Za’tara sekadar menjaringkan satu gol sahaja ketika bertemu dengan Melaka United yang menyaksikan Sri Pahang kalah 1-2.

Zatara antara pemain dikecam peminat ketika ini. — Sri Pahang FC

Disebabkan itu, penyokong Sri Pahang mula meluahkan bahawa Za’tara perlu dengan pemain lain yang mampu mencetak gol berbanding pemain yang berasal dari Jordan itu.

Apatah lagi dengan jendela pendaftaran pemain untuk musim 2022 akan dibuka bermula 28 Mei hingga 24 Jun depan, peminat sudah mula meminta jurulatih memilih pemain baharu.

Habib Haroon

Meskipun memperoleh dua kemenangan berturut-turut tanpa bolos pada April lalu, penyokong berpendapat, masih ada ruang yang boleh diperbaiki oleh skuad Terengganu FC (TFC) bagi memastikan pasukan konsisten pada perlawanan berikutnya.

Sebilangan penyokong TFC meluahkan rungutan bahawa mereka tidak berkenan dengan persembahan pemain import dari Bahrain, Habib Haroon yang dilihat gagal mengawal bahagian tengah dengan baik.

Sebilangan penyokong TFC meluahkan rungutan bahawa mereka tidak berkenan dengan persembahan Habib Haroon

Mereka juga berharap Skuad Penyu itu mampu mencari pemain tengah bertahan dari Asia ketika transfer window kelak.

Habib sebelum ini juga turut menjadi mangsa kecaman kerana persembahan yang tidak meyakinkan dalam beberapa perlawanan terdahulu.

Dennis Buschening

Pemain import kuota Asia Tenggara, Dennis Buschening antara pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC yang gagal menunjukkan persembahan konsisten dalam perlawanan selain Ronald Ngah dan Marc Vales.

Buschening mengalami kecederaan terlalu lama menyebabkan kritikan penyokong.

Gol pertama dan mungkin terakhir dari Dennis Buschening ketika bertemu pasukan KL City

Bermula bulan lalu, dia direhatkan selama enam bulan kerana perlu menjalani pembedahan akibat kecederaan Tendon Achiles.

Perkara tersebut didedahkan oleh Pengendali Sang Kenari, Aidil Sharin Sahak selepas pasukannya menang tipis 1-0 ke atas Sri Pahang FC pada aksi ketiga Liga Super 2022.

Neto Pessoa

Pemain import Sabah FC, Neto Pessoa tiba di Malaysia pada jendela perpindahan awal musim bagi mengisi posisi penyerang utama Sang Badak.

Kredibiliti Pessoa (tengah) belum cukup memikat hati peminat Sabah FC musim ini.

Namun malangnya, selepas empat perlawanan Liga Super, Pessoa terpaksa diketepikan akibat masalah kecederaan.

Malah, Pessoa juga hanya ‘sempat’ meledak satu jaringan bersama Sabah FC.

Ronald Ngah Wanja

Benci tapi cinta, mungkin itu adalah contoh terbaik bagi menggambarkan perasaan peminat Kedah FC terhadap penyerang terbaik Liga Jordan musim lepas, Ronald Ngah Wanja sebaik menjejakkan kaki di Stadium Darul Aman musim ini lantaran dikatakan gagal menepati tag harganya yang mencecah RM1.9 juta.

Selepas bermula hambar pada permulaan musim, penyerang Cameroon ini begitupun dilihat kembali semula menemui sentuhan sebenar apabila mencetak hatrik pertama bersama Sang Kenari ketika sekadar seri 3-3 dengan PJ City baru-baru ini.

Ronald Ngah kembali menemui sentuhan sebenar apabila meledak hatrik bertemu Petaling Jaya City

Cuma, ia belum cukup untuk memuaskan hati peminat yang kekal beranggapan betapa Ronald Ngah antara pemain import yang dianggap gagal dalam saingan Liga Super musim ini, terutamanya apabila dia didakwa terlalu perlahan sebagai seorang penyerang lincah.

Biarpun ada yang menyifatkan ia sebenarnya berpunca daripada kekeringan idea jentera tengah Kedah, suka atau tidak nama Ronald Ngah sedikit sebanyak tetap terpalit sama apabila majoriti peminat mendesak pihak pengurusan supaya segera menyingkirkannya sebaik jendela perpindahan pemain dibuka semula tidak lama lagi.

Baca Juga: 7 pemain Import Kedah yang paling ‘manTOP’

Artikel ini disiarkan pada 15/05/2022

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (2)
  • […] Baca Juga : 7 pemain import dilabel paling ‘gagal’ di Liga Super […]

  • […] Baca Juga: 7 pemain import dilabel paling ‘gagal’ di Liga Super […]